Friday, October 2, 2009

Sotong kering, ada peminat?


Hari ni saya nak bercerita pasal sotong kering dan khasiat (atau keburukkan) makanan ini. Dah jenuh menulis dalam Bahasa Inggeris, hari ni nak santai sikit guna Bahasa Malaysia, bahasa ibunda-la pulak!

Sotong kering ni boleh buat bermacam-macam jenis masakan yang lazat-lazat seperti Sambal Sotong Kering, Nasi kerabu tabur dengan sotong kering atau diratah begitu saja dengan sos atau tanpa sos.

Tetapi tahukah anda bahawa sotong kering ini amat berbahaya untuk kesihatan kerana ia mengandungi logam toksik jenis kadmium, bahan yang sama digunakan untuk membuat bateri, plastik dan baja fosfat?

The Star pada 29 September melaporkan berita Dried cuttlefish contaminated with cadmium: CAP yang mendedahkan kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris mengenai hasil kajian yang dilakukan oleh CAP.

Idris berkata CAP dapat membuktikan perkara ini melalui ujian rawak yang dilakukannya ke atas enam sampel sotong kering di mana lima daripadanya mengandungi kadmium sementara tiga daripadanya mempunyai kandungan kadmium secara berlebihan.

Kesan pengambilan kadmium menurut CAP, mendedahkan seseorang terhadap kanser payu dara dan prostat serta penyakit buah pinggang.

Berita Kosmo! 30 September melaporkan perkara yang sama
Berita Harian (30 September) juga melaporkan perkara yang sama: CAP dakwa sotong kering beracun.

Namun demikian dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Bernama: Sotong kering masih selamat dimakan, mengambil pendapat Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman yang menyatakan kandungan kadmium dalam sotong kering masih pada paras selamat untuk dimakan.

"Setakat ini kita mendapati produk makanan laut masih selamat. Berdasarkan hasil pemantauan melalui sampel yang diuji, kurang daripada satu peratus produk makanan laut positif kadmium," Noraini berkata.

Katanya lagi, hasil pemantauan dari Januari hingga Jun tahun ini mendapati sebanyak 12 atau (0.86 peratus) daripada 1,372 sampel yang diambil dikesan positif untuk kadmium iaitu kandungan antara 1.1 hingga 10.75 ppm.

Antara sampel yang diuji termasuk udang harimau (2 sampel), sotong kering (2 sampel), ikan bilis (3 sampel), ikan tuna (1 sampel), ikan hake (1 sampel), rumpai laut berperisa (2 sampel) dan kepala sotong kering (1 sampel).

"Tahun lalu pula daripada 1,205 sampel makanan laut yang diuji cuma lima sampel (0.57 peratus) iaitu rumpai laut kering yang mengandungi antara 1.58 hingga 1.82 ppm kadmium iaitu melebihi paras yang dibenarkan," katanya.

Jadi yang mana satu pendapat yang ingin kita pakai, terserah kepada budi bicara, penilaian dan kebijaksanaan kita masing-masing.

Untuk mengetahui lebih lanjut bahaya dan kesan kadmium ke atas manusia baca disini

No comments:

Post a Comment