Saturday, January 7, 2012

Newcastle upon Tyne, Fenham dan Komuniti Orang Melayu

Kota Newcastle upon Tyne atau kependekkannya Newcastle pada awalnya membangun sebagai sebuah kota agro dan pusat penting perdagangan bulu biri-biri. Ia kemudiannya menjadi sebuah kawasan perlombongan arang batu dan menjadi maju disebabkan perdagangan hasil bumi ini.

Kota ini juga menjadi masyhur sebagai pusat pembinaan dan pembaikian kapal terbesar di dunia. Pelabuhannya dibangunkan pada kurun ke-16 dengan limbungan kapal di sebelah bawah sungai Tyne.

Pada kurun ke 18 dan 19, ketika tercetusnya revolusi perindustrian, kota ini berkembang menjadi pelabuhan yang terpenting di England. Setelah perdagangan industri berat menurun, pembangunan kota Newcastle terhenti.

Kini Newcastle membangun semula sebagai sebuah pusat perniagaan, pelancongan, kebudayaan dan pendidikan yang termaju disebelah utara England.
                                                                                             
Kota Newcastle dikatakan bandar yang kedua puluh paling ramai penduduk di England. Apabila digabungkan dengan Tyneside yang lebih besar, di mana Newcastle membentuk sebahagiannya, ia adalah bandar gabungan keenam terbesar di United Kingdom.

Kebanyakan penduduk kota ini mempunyai asal-usul Scotland atau Ireland. Menurut perangkaan 2001, penduduk Newcastle berjumlah 260,000 orang.

Terdapat juga kelompok-kelompok kecil bangsa Cina, Yahudi dan Eropah Timur (Poland, Czech, Roma). Dianggarkan antara 500 dan 2,000 penduduk berbangsa Bolivia yang berbahasa Sepanyol menetap di Newcastle, dan jika digabungkan dengan bangsa-bangsa lain (lihat senarai dibawah), ia membentuk sehingga 1% daripada peratusan penduduk.

Menurut perangkaan 2009, pecahan etnik di kota ini adalah seperti berikut:
Orang Putih British:            83.6%
Lain-lain Orang Putih:        4.1%
Asia:                                      7.0%
Pak Hitam (Negro):             1.6%
Cina:                                     1.3%
Campuran-bangsa:             1.4%
Lain-lain:                              1.0%

Melalui pengalaman penulis dan rakan-rakan lain yang menetap disini semenjak 2009, daripada 7% penduduk Newcastle dari kumpulan Asia (menurut data di atas), bangsa Pakistan merupakan kelompok Asia yang paling ramai disini. Pakistani atau bangsa Paki, sebutan kependekannya, mungkin sama atau melebihi jumlah bangsa Cina (1.3%).

Kelompok terbesar dari Asia seterusnya (menurut anggaran penulis) ialah bangsa India, Arab dan akhir sekali kelompok nusantara, iaitu gabungan bangsa Melayu dan Indonesia.

Sebahagian besar masyarakat Melayu dan Indonesia yang menetap di Newcastle ialah golongan pelajar dan kaum keluarga mereka. Orang Melayu dan mereka yang berasal dari Malaysia yang menjadi penduduk tetap (UK permanent resident) di Newcastle adalah sangat sedikit, mungkin boleh dikira dengan jari. Ini disebabkan syarat-syarat untuk mendapat PR sangat sukar.

Satu kumpulan komuniti eksklusif orang Melayu Malaysia yang boleh dijadikan panduan mengenai jumlah orang Melayu di Newcastle boleh dicapai melalui internet iaitu di Yahoo-groups. Komuniti ini dikenali sebagai Balai Newcastle dan dari senarai keahlian yang terdapat di Yahoo-groups ini pada 6 Januari 2012 cuma seramai 321 orang.

Mungkin ada sebahagian dari ahli di dalam senarai ini yang sudah pulang ke tanah air menjadikan jumlahnya lebih kurang dari 300 orang, dan mungkin ramai juga dari ahlinya tidak mendaftar sebagai ahli di Yahoo-groups dan ini menjadikan kiraannya amat sukar diagak.

Bagaimanapun penduduk Newcastle berbangsa Melayu sememangnya sukar dianggarkan jumlahnya. Pertama kerana tiada usaha dari mana-mana pihak untuk mengumpul dan menyenaraikan penduduk Melayu disini. Kedua sebab kumpulan komuniti Melayu yang ada seperti Balai Malaysia Newcastle (BMN) ini tidak bersifat terbuka dan ramai pelajar yang muda belia terutamanya yang belajar diperingkat sarjana muda tidak dipelawa secara formal untuk menyertai kumpulan ini.

Dalil bahawa komuniti ini adalah sebuah komuniti eksklusif ialah pengalaman penulis pada Mac 2009, sebelum bertolak ke Newcastle (April 2009). Penulis ketika itu meminta untuk menganggotai Yahoo-group BMN ini dan menjadi subscriber kepada mailing-listnya. Permohonan penulis ditangguhkan sehingga beberapa bulan dan akhirnya ditolak tanpa apa-apa alasan.

Saya mengandaikan ada tiga kemungkinan mengapa permohonan saya ditolak. Pertama, komuniti Balai Malaysia Newcastle ini yang diketuai dan disertai oleh pelajar-pelajar postgraduate dan ahli keluarga mereka kurang bergaul dengan kumpulan undergraduate dan lain-lain orang yang tidak dikenali. Kedua, mereka yang mengetuai kumpulan ini mungkin paranoid dengan kehadiran orang baru dan oleh sebab itu mahu mengekalkan eksklusiviti kumpulan ini. Ketiga mungkin terdapat aktiviti-aktiviti anti-kerajaan yang dianjurkan oleh kepimpinan komuniti ini yang mahu disorokkan daripada orang luar yang tidak dikenali.

Secara ringkasnya Balai Newcastle mempunyai Biro atau Jawatankuasa seperti Biro Kebajikan, Biro Dakwah, Pembangunan Insan, Sukan & Rekreasi, Pembangunan Wanita dan IT & Pengurusan Kelab. Penghulu Balai Newcastle ketika ini ialah saudara Azizul Haqim Abd Rahman dan timbalannya ialah saudara Ibrohim Hanif Ahmad Shah (website Balai Malaysia Newcastle).

Antara aktiviti yg dijalankan oleh Balai Newcastle ialah mengadakan ceramah dan usrah mingguan, berkumpul dijamuan Hari Raya Aidil Fitri dan acara korban Aidil Adha, membantu ahli untuk mencari dan berpindah rumah atau mengangkut barang dalam kontena bagi mereka yang akan pulang ke tanah air dan juga pertandingan bowling.

Pada 2009 komuniti Balai Newcastle telah menyewa sebuah rumah yang dinamakan Rumah Balai beralamat di 67 Ladykirk Road, Fenham. Rumah ini dijadikan ibupejabat kepada semua aktiviti komuniti Melayu dan Balai Newcastle. Rumah ini berjaya dikekalkan selama setahun iaitu sehingga 2010 sebelum pihak Balai merasakan adalah lebih ekonomikal jika aktiviti Balai dijalankan dari rumah ke rumah.
Aktiviti BMN - angkat barang ke dalm kontena

Pada pendapat seorang ahli yang ditemuramah penulis, komuniti Melayu di sini agak rapat, dimana kebanyakannya bertumpu di kawasan perumahan Fenham, Heaton dan Jesmond. Aktiviti tetap hujung minggu ialah menyelenggarakan sekolah balai yg digerakkan oleh tenaga pengajar sukarela.

Sekolah Balai merupakan kelas al quran dan fardhu ain kepada kanak-kanak Muslim Malaysia yg menetap di sekitar Fenham. Aktiviti Biro Wanita yang diadakan ialah kelas masakan di hujung minggu yang digerakkan secara bergilir-gilir dengan mengambilkira resepi-resepi kegemaran orang Melayu atau Inggeris.

Komuniti lelaki Muslim juga berkumpul pada sembahyang Jumaat biasanya di masjid University Newcastle atau di masjid-masjid sekitar Fenham.

Kebanyakan orang Melayu/Islam lebih sukakan penempatan di Fenham kerana sewanya yang murah dan jarak yang berdekatan dengan banyak kemudahan kedai-kedai menjual makanan halal. 
Aktiviti ekonomi penduduk Islam Newcastle banyak tertumpu di sepanjang Stanhope Street dan Westgate Road dengan kedai2 halal yang didominasi oleh pedagang India Muslim, Pakistan dan Turki.

Convenience Store halal di Westgate Road
Di Fenham juga terdapat banyak convenience store seperti Londis, ASDA dan Iceland. Di jalan utama Fenham, iaitu Stanhope Street terdapat kedai sayuran dan buahan Hutchinson yang menjual barangan dengan harga ekonomi dan borong.



Di Fenham juga terletaknya General Hospital yang dikhususkan kepada kesihatan warga tua selain terdapat banyak kedai Farmasi, Health Centre, Bowling Abbey, pusat renang dan berbagai kemudahan lain.

Pada Februari 2011 satu aktiviti ekonomi orang Melayu Newcastle telah muncul dengan pengambilalihan sebuah bisnes kedai makan di tengah-tengah kota Newcastle iaitu di 34, Leazes Lane, Newcastle. Restoren ini dimiliki oleh syarikat Saudagar Nusantara Limited yang diasaskan oleh dua orang yang berasal dari Sabah iaitu Cikgu Abrahim Hj Edris dan isterinya Cikgu Norma Adhari.

Pada Mac 2011 restoren ini mula beroperasi secara sah setelah syarikat ini mendapat lesen berniaga dari Newcastle City Council yang berkuatkuasa pada 23 Februari 2011. Dengan wujudnya restoren ini ia menjadi lambang kepada satu entiti yang sangat membanggakan kepada orang Melayu khususnya di Newcastle dan UK amnya.

Baca cerita selanjutnya mengenai kejayaan perniagaan restoren orang Melayu di Newcastle ini dalam posting yang akan datang.


Artikel berkaitan: Malaysian Restaurants in the UK

No comments:

Post a Comment