Zainuddin Yahaya aka Tukdin |
Restoren Tukdin ini bukan saja terkenal kerana keenakan masakannya yang meliputi masakan asli Melayu dan Asia, ia juga menjadi tempat pertemuan (lepak) orang-orang Malaysia di UK. Sebut saja Tukdin, semua akan tahu tempatnya yang berdekatan dengan Malaysian Student Department di Queensborough Terrace, Bayswater, London.
Restoren ini adalah bisnes milik keluarga Melayu yang diasas dan dimiliki oleh Tukdin atau nama sebenarnya Zainuddin Yahaya. Zainuddin berasal dari Alor Star, Kedah dan bersama keluarganya sudah menetap di London lebih 30 tahun.
Bagi pelajar Malaysia yang pernah menetap di sekitar London pada tahun 90an dan kakitangan Malaysian Student Department khasnya sudah pasti mengenali Tukdin yang mengusahakan kantin Malaysia Hall di Bryanston Square satu ketika dulu.
Kantin Malaysia Hall di basement Malaysia High Commission |
Tiga Chef Rasa Nusantara, dari kiri Chef Ron, Khairil dan Chef Amran. Wak Dean, 2 dari kanan menyertai RN setelah Khairil pulang ke Malaysia |
Menurut Chef Ron, restoren Rasa Nusantara ini dimiliki oleh Cikgu Abrahim dan isterinya Cikgu Norma Adahari. Sebelum ini Chef Ron bersama dua lagi rakannya hanya berniaga dengan menyewa premis restoren peniaga lain. Pada bulan Februari 2011, Chef Ron dan rakan-rakannya telah bergabung dengan Cikgu Abrahim untuk mewujudkan Restoren Rasa Nusantara secara sah disisi undang-undang.
Chef Ron memiliki pengalaman yang luas sebagai tukang masak di Malaysia. Malah Chef Ron yang memiliki sebuah restoren, Sambal Cafe di Kelana Jaya, Selangor telah menjual bisnesnya kerana mengikuti isteri, Nurul Hudha Ishak menyambung pelajarannya diperingkat LLB dan LLM di Northumbria University.
Menu khas setiap Ahad di RN, Nasi Kerabu Ayam Percik |
Maka kesempatan ini diambil oleh Chef Ron dan rakan-rakannya untuk memulakan bisnes masakan Melayu/Malaysia dengan mengekalkan nama Sofia Restoren sebab mereka tidak memiliki lesen berniaga. Pemilik asal restoren telah membenarkan mereka menggunakan lesen perniagaan Restoran Sofia untuk sementara waktu sehinggalah Chef Ron dan rakan-rakannya memiliki lesen sendiri yang sah.
Pada satu hari seorang rakan yang belajar di Sunderland dan bekerja secara sambilan di Restoran Sofia telah memperkenalkan Chef Ron dan rakan-rakan kepada Cikgu Abrahim, seorang rakyat Malaysia yang bertaraf PR di UK. Berkebetulan pula Cikgu Abrahim ada pengalaman dan minat dalam bidang perniagaan makanan, maka mereka berempat pun bersetuju dengan cadangan pendaftaran sebuah syarikat.
Cikgu Abrahim Hj Idris, 53 tahun, menetap di Sunderland berdekatan Newcastle dan sudah bermastautin di UK semenjak 1976 ketika belajar diperingkat O-Level di Cambridge University. Kemudian Cikgu Abrahim terus tinggal di UK sehingga memperolehi ijazah pertama dan ijazah sarjana di University of London dalam bidang Biological Sciences and Microbiology.
Pada 23 Februari 2011 dan setelah lebih kurang 3 minggu beroperasi dengan menumpang atas nama Sofia Cafe, permohonan lesen mereka diluluskan. Lesen tersebut adalah atas nama Saudagar Nusantara Limited yang dimiliki sepenuhnya oleh Cikgu Abrahim. Dengan perniagaan restoren yang sah ini maka bermulalah satu lagi episod kejayaan perniagaan orang Melayu di bumi Inggeris.
Dalam kesempatan berada di Newcastle selama 6 minggu, penulis tidak bertemu Cikgu Abrahim, bagaimanapun sempat menemubual beliau melalui talipon. Bila ditanya apakah beliau akan mengembangkan bisnes dan syarikat ini untuk membuka satu lagi restoren seumpama ini ditempat lain, beliau berkata dia tidak akan berbuat demikian kerana dia melakukannya secara sambilan. Pada siang hari dia mengajar di Durham County Council, dan pada petang pula dia terpaksa bergegas ke Newcastle, dan semua ini memenatkannya.
Cikgu Norma Adahari dan Chef Ron di dapur RN |
Chef Amran atau nama sebenarnya Amran Mahmood, 40 yang saya hubungi melalui email telah menyatakan hasrat dan objektif asal mereka disebalik pembukaan restoren ini. Yang pertama katanya ialah untuk menyediakan alternatif makanan halal kepada komuniti Melayu Islam khasnya dan kepada semua orang Islam di Newcastle amnya. Selain itu restoran ini juga dapat menjadi pusat perjumpaan bagi rakyat Malaysia, selain menjadi pusat rujukan/persinggahan pelancung Malaysia di UK.
Chef Amran Mahmood (sedang bakar sate) |
Sebenarnya saya merasakan restoren ini sepatutnya wujud di era aktif dan kegemilangan Balai Malaysia Newcastle pada tahun 2008-2010, yang pada pendapat seorang pelajar PhD dalam bidang Nutrisi dan Kesihatan di Newcastle University, Dr Wan Adnan Wan Omar, 36 adalah zaman Balai Malaysia Newcastle paling aktif ketika dia mula-mula sampai disini membuat Sarjana Perubatan Penyelidikan pada 2008.
Menurut Dr Wan, ketika itu ada sekurang-kurangnya 68 keluarga Melayu di Newcastle, dan ini tidak termasuk bilangan pelajar diperingkat sarjana muda yang rata-ratanya bujang. Balai Malaysia Newcastle dibawah penghulunya ketika itu, Sdr Mohd Shaukhi Hashim sentiasa meluangkan masa bersama ahli dan AJK lain untuk menjalankan aktiviti sosial, ilmiah dan kebajikan. Pada ketika inilah juga Balai Malysia Newcastle berupaya menyewa Headquarters sendiri dimana aktiviti-aktiviti terancang dibuat dengan lebih kemas dan berkesan melalui HQ ini.
Baca posting selanjutnya mengenai Bisnes dan Komuniti Orang Melayu di Newcastle dan UK, insyaAllah.
Related Article: