Saturday, January 7, 2012

Larian Obor Olimpik dan Kota Newcastle upon Tyne

Lands End, Cornwall
Larian obor Olimpik 2012 akan bermula di Land's End, Cornwall, England pada 19 May ini. Nyalaan obor Olimpik akan tiba dari tapak sukan Olimpik Kuno di Olympia, Greece sehari sebelum itu.

Larian berganti-ganti ini melibatkan 8,000 pelari obor dan akan menjejaki daratan, udara dan lautan ke seluruh Britain serta melalui 1,019 perkampungan merangkumi jarak sejauh 12,800km.

Larian obor ini akan mengambil kira tempat-tempat menarik terutamanya kota-kota bersejarah dan mercu tanda di sekeliling Britain. Keseluruhannya, larian ini akan mengambil masa 70 hari untuk sampai ke destinasinya.

Pelari-pelari obor dipilih dari pemuda-pemudi berusia antara 15-24 tahun dan mereka akan membawa obor menggunakan pelbagai pengangkutan antaranya bot terusan, kereta kabel, trem, kereta api stim, belon udara panas dan juga kereta roda tiga.

Pada hari kesebelas, iaitu 29 May, obor Olimpik akan dibawa menggunakan rel untuk mendaki puncak Snowdon di Wales, gunung ke 4 tertinggi di England (1,085 meter dari paras laut).

TT Sidecar race in Isle of Man
Pada 2 Jun, iaitu hari yang ke 15, ia akan dibawa menyeberangi Laut Irish ke Isle of Man di mana obor Olimpik akan dibawa menaiki kereta roda tiga (TT sidecar) dan tram elektrik semasa TT Festival 2012.

Sehari kemudian pelari obor akan dibawa ke pulau Ireland menggunakan bot. Setelah mengelilingi kota-kota utama di Ireland Utara seperti Belfast, Portrush, Derry-Londonderry dan Newry pada 3, 4 dan 5 Jun, delegasi obor ini akan singgah di Dublin, ibu kota Republik Ireland pada 6 Jun.

Republik Ireland yang bukan sebahagian dari United Kingdom sebelum ini tidak terpilih sebagai antara laluan obor Olimpik. Mengenai pemilihan semula Dublin ini dalam senarai larian obor, Menteri Sukan dan Kebudayaan Ireland, Michael Ring dalam satu kenyataan akhbar berkata: “Majlis penuh bersejarah (Olimpik) ini mengiktiraf persahabatan, keamanan dan kerjasama yang kini wujud di pulau Ireland dan menunjukkan kuasa penyatuan sukan.”

Stornoway, di Isle of Lewis
Seterusnya pada 8 Jun larian ini akan menyeberangi Northern Channel ke Scotland melalui pelabuhan Stranraer. Pada 9 Jun, ia akan singgah di Glassgow dan seterusnya ke Stornoway, di Isle of Lewis sebelum ke Kirkwark dan Lerwick di kepulauan Shetlands, kedua-duanya pada 10 dan 11 Jun. Singgahan terakhir di Scotland ialah di kota bersejarah Edinburgh, sebuah Bandar Warisan Dunia UNESCO iaitu pada 14 Jun 2012.

Setelah mengelilingi Scotland selama enam hari, larian ini akan menuju ke selatan dan singgah di Newcastle upon Tyne pada 15 Jun melalui Alnwick. Kedua-dua kota ini mashyur kerana keindahan kastil-kastilnya dan sejarah penaklukan Rom, konflik serta peperangan dengan Denmark dan bangsa Normandy.

Di Newcastle, dimana penulis kini menetap, persiapan sedang dibuat untuk upacara keraian malam secara gilang gemilang, di mana obor api Olimpik akan diterbangkan melintasi Sungai Tyne melalui wayar zip dari Jambatan Tyne.

St James Park Stadium, Newcastle
Newcastle juga akan menjadi tuan rumah kepada beberapa perlawanan penting sukan bolasepak Olimpik. Stadium ternama di Newcastle, St. James Park akan menjadi hos kepada sembilan perlawanan, termasuk suku akhir dalam kedua-dua pertandingan lelaki dan wanita. 


Kota Newcastle upon Tyne atau pendeknya Newcastle adalah sebuah bandar bersejarah yang kini muncul sebagai kota metropolitan yang terbesar di daerah timur-laut England. Didirikan di Era Romawi oleh Kaisar Hadrian sekitar 2000 tahun yang lalu, nama kota ini sebelumnya ialah Pons Aelius. Nama Newcastle atau Kota Baru dalam bahasa Melayu diperolehi dari nama kastil yang dibina pada 1080 oleh Robert II, Duke Normandy, anak sulung William si Penakluk (William the Conqueror).

Penulis depan bangunan bersejarah di Newcastle pada 2009
Baca mengenai sejarah pembangunan serta perkembangan ekonomi kota Newcastle dan Komuniti Melayu di Newcastle dalam posting: 
Selepas singgah di Newcastle, delegasi pelari obor akan dibawa ke bandar-bandar besar dan perkampungan indah di seluruh England selama 7 minggu selanjutnya.

Acara larian obor ini sebenarnya memberi peluang kepada masyarakat tempatan untuk mempromosikan kepada dunia mengenai keindahan kampung halaman dan persekitaran kota mereka yang dapat ditawarkan melalui pelancongan kepada dunia - termasuk perayaan budaya tempatan, landskap yang menakjubkan dan kawasan-kawasan bandar yang dinamik.

London Olympic Stadium 2012
Kemuncak larian obor ini ialah apabila pelari terakhir (yang namanya dirahsia sehingga saat terakhir larian) sampai dan menyalakan obor di kawah London Olympic Park, Stradford, London pada 27Julai 2012. 

Baca mengenai pelari Burnham yang dipilih sebagai pelari obor.

Dengan nyalaan obor dikawah Olimpik ini bermakna bermulalah Sukan Olimpik ke 30 (London Olympiad XXX) menjadikan kejayaan kali ketiga kota London dipilih sebagai hos kepada acara terulung di dunia ini. Sebelum ini London pernah menjadi tuan rumah kepada sukan Olimpik pada tahun 1908 dan 1948.


No comments:

Post a Comment